Sunday, January 27, 2019

DUA 6022 : KOMUNIKASI DAN PENYIARAN ISLAM

E-FOLIO : PERANAN PELAJAR DALAM MEWUJUDKAN PERPADUAN MELALUI INTEGRASI BUDAYA 


NAMA AHLI KUMPULAN :

1.MUHAMMAD IBRAHIM BIN SYED SARBUDEEN 30DLS17F2057
2.MOHAMAD SYAFIQ BIN AZMAN 30DLS17F2023
3.MUHAMMAD HAIKAL BIN AMRAN 30DLS17F2047

OBJEKTIF :
  • Mengeratkan hubungan silaturrahim walaupun berbeza kaum.
  •  Dapat memupuk dan menyemai perpaduan di negara ini.
  •  Menunjukkan teladan yang baik agar dapat mencontohi nilai-nilai murni yang baik.
  • Berbudi bahasa dan menjaga pergaulan sesama bangsa.
  • Memupuk rasa bangga terhadap budaya yang mencerminkan akal budi dan pemikiran rakyat Malaysia.
  • Mewujudkan masyarakat yang saling menghormati dan menjaga batas antara budaya.
  • Mewujudkan komunikasi yang berkesan ke arah kesedaran kebangsaan, kenegaraan dan nasionalisme Malaysia.




PENGENALAN:


Perpaduan dalam Islam bukan sekadar hubungan baik sesama Islam sahaja, malah merangkumi kepada kaum bukan islam jua. Sejarah di zaman Rasulullah S.A.W mencatatkan bahawa masyarakat yahudi dan kristian ketika itu hidup aman dan damai di Madinah Munawwarah, kerana hak mereka tidak dicerobohi oleh umat Islam. Kesan keadilan Islam inilah kelompok Islam yang awalnya minoriti menjadi majoriti apabila kaum bukan Islam beramai-ramai menganuti Islam kerana tertarik hati dengan kebaikan yang ditonjolkan oleh umat Islam yang terserlah melalui akhlak dan perlakuan terpuji penganut-penganutnya.



Di Malaysia, perpaduan menjadi keutamaan yang tinggi untuk membentuk sebuah negara yang aman dan harmoni yang mana dihuni oleh masyarakat pelbagai etnik, kaum,budaya serta agama. Kepentingan ini semakin terserlah apabila isu perkauman sering diperkatakan secara meluas oleh pelbagai lapisan masyarakat. Perpaduan sesama masyarakat Islam dinyatakan secara jelas di dalam Al-Quran surah Al-Imran ayat 103 yang bermaksud “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah ( agama Islam ) dan janganlah kamu bercerai-berai”.



Perpaduan sangat penting dalam sesebuah negara lebih-lebih lagi negara berbilang etnik. Hal ini demikian kerana perpaduan merupakan asas pembentukan sesebuah negara yang progresif dan maju. Pepatah ,melayu ada mengatakan bahawa bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana maufakat. Pelajar sebagai pewaris negara ini dan mereka memainkan peranan penting untuk memupuk semangat perpaduan. Mereka hendaklah memikul tanggungjawab besar.



Manakala, Integrasi budaya ialah suatu proses penyatuan 
antara dua unsur atau lebih yang mengakibatkan terciptanya suatu keinginan yang berjalan dengan baik dan benar. Lebih lanjut jika dimasukkan ke dalam kehidupan sosial, integrasi budaya dapat diartikan sebagai suatu proses mempertahankan kelangsungan hidup masyarakat sebagai sebuah sistem.



Konsep :

Perpaduan: Satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap   anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan negara.

Integrasi: Satu proses untuk mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan ekonomi  dalam berbilang etnik.

Isi



Pada era globalisasi ini, isu perpaduan kaum merupakan satu usaha berterusan yang dipikul dan dijunjung bersama-sama oleh semua pihak bagai aur dengan tebing. Sekiranya terlerai ikatan silaturahim dan musnah perpaduan dalam masyarakat, nescaya pelbagai impak negatif akan menimpa masyarakat khususnya dan negara amnya. Oleh sebab itu, peranan setiap rakyat Malaysia diperlukan dalam memupuk dan menyemai semangat perpaduan dalam integrasi budaya di Negara Malaysia yang tercinta. Peranan ini tidak hanya perlu dijalankan oleh orang dewasa sahaja tetapi untuk para pelajar yang merupakan pewaris negara juga agar mereka lebih menghayati dan seterusnya sentiasa mengamalkan sikap semangat perpaduan dalam integrasi budaya. Persoalannya, apakah peranan pelajar dalam mewujudkan perpaduan melalui integrasi budaya?       



Antara peranan pelajar dalam mewujudkan perpaduan melalui integrasi budaya ialah sikap saling menghormati antara satu sama lain. Sikap seperti ini adalah sikap yang murni dan sentiasa digalakan dalam setiap agama. Sekiranya pelajar menunjukkan sikap yang tidak baik terhadap pelajar lain, maka rasa hormat dan semangat bersatu padu itu tidak akan wujud dalam diri setiap pelajar. Sebagai contoh, menghormati rakan-rakan yang berbeza agama dari segi perayaan dan budaya supaya setiap pelajar dapat saling bersama- sama dalam melakukan pelbagai perkara seterusnya mendapat suasana belajar yang aman dan damai. Bak kata pepatah, sepakat membawa berkat. 

   


Peranan yang berikutnya ialah sebagai seorang pelajar dan juga remaja mestilah mengasimilasikan budaya pelbagai kaum dalam kehidupan seharian.Malaysia sangat unik kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum. Contohnya, Kaum Melayu, Cina dan India merupakan tiga kaum yang dominan di negara ini. Selain itu, rakyat negara ini juga terdiri daripada etnik peribumi yang tidak kurang pentingnya seperti Iban, Kadazan, Dusun, Orang Asli, Penan dan termasuk juga golongan minoriti seperti Portugis, Siam dan lain-lain. Pelajar juga mesti sanggup untuk menerima dan mengamalkan budaya yang sesuai dengan kehidupan.Misalnya daripada perayaan, rakyat Malaysia meraikan pelbagai kaum yang tersendiri.Untuk merasai kemeriahannya, pelajar digalakkan turut merayakan perayaan-perayaan yang disambut oleh rakan mereka dengan hati yang ikhlas, bak kata pepatah masuk ladang kambing mengembek, masuk ladang kerbau menguak. Jelaslah, asimilasi budaya dapat mewujudkan semangat perpaduan yang ampuh dalam kalangan remaja di negara ini.




Seterusnya, Para pelajar juga hendaklah menghindarkan diri dari bersangka buruk dan hasad dengki terhadap pelajar lain yang berlainan kaum. Sikap mazmumah ini akan membawa kepada perpecahan dan akan menyebabkan kelemahan kepada ummah. Selain itu, pelajar perlu melibatkan diri dalam sesuatu aktiviti yang dianjurkan oleh institusi pendidikan yang melibatkan pelajar pelbagai kaum. Dengan ini, mereka akan bekerjasama, membantu dan tolong- menolong di antara satu sama lain untuk memupuk semangat kerjasama dan saling mempercayai di antara satu sama lain serta mengeratkan silaturrahim sesama manusia.



   Selain itu, sikap etnosentrisme perlu dielakkan dalam diri setiap orang pelajar. Sikap etnosentrisme ialah sikap yang mementingkan kelompok etnik sendiri. Usaha membentuk satu bangsa Malaysia amat mencabar kerana selepas kemerdekaan,masalah perkauman tetap merupakan satu isu yang serius dan perlu diambil perhatian. Malaysia yang terdiri daripada penduduk berbilang kaum pernah menghadapi masalah dan konflik kaum, Khasnya peristiwa 13Mei 1969.



  Antara lain, sambutan hari perayaan, seperti hari raya, tahun baru cina dan deepavali di sambut di peringkat sekolah juga salah satu langkah yang berkesan bagi peranan pelajar dalam mengeratkan hubungan antara kaum yang melangkaui integrasi budaya. Sebagai contoh, pada sambutan hari raya kesemua yang hadir memakai pakaian tradisional melayu. Secara tidak langsung wujudnya semangat perpaduan dan tiada lagi sifat perkauman.Bukan itu sahaja, kaedah pembelajaran secara berkumpulan yang terdiri daripada kaum yang berbeza dapat mengeratkan lagi hubungan dan ia secara tidak langsung akan wujudnya masyarakat yang penyayang di institusi pendidikan dan akan melahirkan perpaduan serta kesatuan yang kuat dalam kalangan pelajar.



 KESIMPULAN 

 Tuntasnya, perpaduan dalam integrasi kebudayaan amat penting  bagi menjamin kestabilan negara supaya aman dan damai serta ianya penting dalam mewujudkan perpaduan melalui integrasi budaya agar semangat tersebut diamalkan dalam masyarakat bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan harmoni. Pelajar  yang mana merupakan tonggak negara dimana mereka perlu cakna akan peranan memupuk perpaduan tanpa mengira kepelbagaian etnik dan kebudayaan supaya hasrat untuk membentuk sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang tercapai. Selain itu, iltizam dan kesungguhan remaja dan pelajar dalam memupuk semangat perpaduan amat dituntut demi mewujudkan negara yang bersatu padu dan berdaya saing di peringkat global. Justeru itu, semua pihak perlu menanam sifat keikhlasan dalam diri masing-masing agar perpaduan tidak bersulamkan niat meretakkan. Jangan tangan kanan menghulur madu, tangan kiri menghulur racun.



CADANGAN

1.Mengadakan kurikulum yang seragam untuk semua intitusi pengajian.
2.Memperbanyakkan aktiviti secara berkumpulan yang mencampurkan berlainan bangsa .
3.Mengadakan aktiviti kemasyarakatan yang memerlukan semua kaum terlibat sama dalam aktiviti kemasyarakatan.
4.Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia perlu mengukuhkan lagi subjek mengenai kebudayan.
5.Pihak intitusi pengajian perlu membuat kem kebudayaan bagi mengenali budaya lain.


RUJUKAN

 https://www.slideshare.net/khatijah1889/konsep-etnik-masyarakatbudaya-integrasi
  
http://cikgurazak.blogspot.com/2014/06/tugasan-pt-3-sejarah_365.html

http://amsn96.blogspot.com/2017/01/peranan-pelajar-dalam-mewujudkan.html?m=1

http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/maklumat-kenegaraan/238-dasar-kebudayaan-kebangsaan.html

http://jomjelajahislam.blogspot.com/2017/02/peranan-pelajar-dalam-memupuk-perpaduan.html?m=1


                                                                                                   

No comments:

Post a Comment